.........السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ.........

.........السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ.........

08/10/2015

Doa khutbah jumaat yang kedua








Ketahuilah bahwa mengangkat kedua tangan ketika khatib berdo’a dalam khutbah jum’atnya adalah sesuatu yang tidak disyari’atkan. Baik  bagi khatib ataupun jemaah. Kerana ada keterangan dari Ammarah bin Ruaibah, bahwa dia telah melihat Bisyr bin Marwan mengangkat kedua tangannya di atas mimbar. Lalu Ammarah berkata : ” Semoga Allah menghodohkan kedua tangan itu, sesungguhnya saya telah melihat Rasulullah ketika berdo’a selalu dengan tangannya, begini.” Yaitu dengan mengisyaratkan jari telunjuknya. Dalam riwayat yang lain disebutkan, “Pada hari Jum’at.” (HR Muslim no.874).

An Nawaawi berkata : “Dalam hadits itu ada penjelasan bahwa sunnah adalah tidak mengangkat kedua tangannya ketika berkhutbah. Ini adalah pendapat Imam Malik, sahabat-sahabatnya, dan selain mereka. Al Qadhi menceritakan dari beberapa orang terdahulu dan dari sebahagian pengikut Imam Malik, bahwa mengangkat tangan adalah boleh, dengan dalil karena nabi pernah mengangkat kedua tangannya dalam khutbah Jum’at ketika meminta turun hujan. Tapi pendapat ini dijawab oleh pendapat yang mengatakan tidak boleh, kerna baginda mengangkat kedua tangan karena adanya sebuah alasan. ” (Syarah Muslim oleh An Nawawi 5/411).

Namun sunat bagi jemaah untuk meng ameen kan bacaan doa khatib pada khutbah yang kedua tanpa mengangkat tangan.


07/10/2015

FIQH: BOLEHKAH QODHO' PUASA UNTUK ARWAH?

gambar hiasan, tiada kaitan dlm artikal ini. :)

Terdapat ulama’ berpendapat tidak wajib bagi wali (waris si mati) menggantikan puasa orang yang telah meninggal dunia. Imam Malik, imam Abu Hanifah dan juga Imam asy-Syafii menurut qual jadid (berpendapat yang kukuh) berpandangan tidak perlu dipuasakan untuk si mati.

Pendapat yang menyatakan tidak wajib berpuasa bagi menggantikan puasa si mati berasaskan kepada hadis daripada ibn Abbas r.a yang diriwayatkan oleh an-Nasa’I,
“tidak perlu seseorang solatkan untuk seseorang dan tidak perlu seseorang puasakan untuk seseorang”
Namun demikian, terdapat juga hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyatakan waris si mati perlu berpuasa bagi mengantikan puasa orang yang telah meninggal dunia. Rasulullah saw bersabda:
“ siapa yang mati padahal ia ada berhutang puasa (puasa bulan Ramadhan atau puasa nazar yang ditinggalkan yang tidak sempat melaksanakan) maka walinya puasakan untuknya.”
Hadis ini sebenarnya adalah lebih sahih untuk dijadikan pegangan hukum. Oleh sebab itu, ada ulama dan fuqaha mengambil kesimpulan berdasarkan hadis ini bahawa sunat hukumnya bagi si wali mengantikan puasa si mati. Puasa yang ditinggalkan itu dikira sebagai hutang dengan Allah swt.

Itu pun terserahlah kepada waris tersebut sekiranya ia mahu melakukannya. Bagi puasa nazar (bukan puasa Ramadhan), pendapat ulama menghukumkan wajib diganti oleh waris si mati puasa yang tidak sempat dilaksanakan oleh si mati itu.

Sekian Wallahu’alam

Semoga bermanfaat semua. :)

12/08/2015

Mars VS Venus




ye ker???








Hawa\Venus : Kenapa abg blk lambat?
Adam\Mars : Jalan jem...
Hawa\Venus : Abang kan naik motor, jem ape nye?
Adam\Mars : Awk ingat naik motor tk jem? 


Hawa\Venus : Abang, jom keluar malam ni?
Adam\Mars : Penat la, keje byk kat ofis td...
Hawa\Venus : Penat ape nye, abang kan keje gov...
Adam\Mars : Awk ingat org keje gov takde keje?

27/07/2015

QADHA RAMADHAN vs SUNAT SYAWAL

KEUTAMAAN QADHA DAN SUNAT SYAWAL

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال 
عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

Namun, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)

Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini adalah, terdapat IJTIHAD ULAMA yang membolehkan gabung dan wujud juga yang tidak membolehkan, justeru persoalan UTAMA yang tinggal kini boleh BOLEH ATAU TIDAK MENGGABUNGKAN tetapi lebih kepada manakah kaedah yang terbaik untuk DIRI. Jika ditanya kepada saya, jawabnya adalah SANGAT ELOK tidak digabungkan JIKA MAMPU DAN BERKEINGINAN GANJARAN TERBESAR, justeru elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);
Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai RUKHSAH  "keringanan" bagi mereka yang mempunyai KESUKARAN kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman/ http://www.zaharuddin.net/

30/06/2015

17 RAMADHAN ? 21 RAMADHAN ? 24 RAMADHAN ?

17 RAMADHAN KAH?  21 RAMADHAN KAH?  
24 RAMADHAN KAH?





Ramadhan dan al-Quran satu ikatan yang tersimpul mati. Apabila disebut Ramadan, di samping puasa, kita akan teringatkan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran). Bulan Ramadan bulan yang diturunkan dalamnya al-Quran. 

Penurunan al-Quran itu dua peringkat; pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi s.a.w secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad ditabalkan menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun.

Para sarjana tidak berbeza pendapat bahawa al-Quran turun (Nuzul al-Quran) dalam bulan Ramadan. Ini kerana Allah sendiri yang menjelaskan bahawa al-Quran itu turun dalam bulan Ramadan. Firman Allah: (maksudnya)
“Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi pertunjuk untuk manusia” (Surah al-Baqarah, 185).

Namun begitu sarjana berbeza pendapat tentang berapa haribulankah Ramadan penurunan itu berlaku? Ada yang berpendapat ia diturunkan pada 21hb Ramadan. Pendapat ini dipegang oleh beberapa orang ulama, antaranya tokoh Sirah yang terkenal al-Syeikh Safiyy ar-Rahman al-Mubarakfuri seperti yang beliau sebut dalam karyanya Rahiq al-Makhtum. Ada juga yang berpendapat 24hb Ramadan kerana bersandarkan hadis riwayat al-Imam Ahmad yang menyebut:“…Allah turunkan al-Quran pada 24hb Ramadan”. Hadis ini disahihkan oleh sebahagian ulama, dihasankan oleh sebahagian yang lain. Terdapat juga sarjana yang mendaifkannya disebabkan kritikan terhadap salah seorang rawi iaitu Imran bin al-Qattan. Namun ada riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas yang boleh menyokong riwayat ini. Di sana ada lain-lain pendapat tentang haribulan Nuzul al-Quran ini.
Di tempat kita biasanya kita mendengar tarikh Nuzul al-Quran pada 17hb Ramadan. Ini juga salah satu pendapat yang telah sesetengah sarjana kemukakan. Pun begitu pendapat ini mendapat kritikan sebahagian sarjana yang lain atas beberapa alasan. Antaranya, al-Quran sendiri menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada Malam al-Qadr (Lailatul Qadar). Ini seperti yang Allah sebut dalam Surah al-Qadr: (maksudnya)
“Sesungguhnya Kami telah turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr” (ayat 1).
Hadis-hadis Nabi s.a.w pula banyak yang menjelaskan bahawa Malam al-Qadr itu berlaku pada salah satu dari sepuluh malam yang akhir bulan Ramadan. Maka, sepatutnya penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) dalam lingkungan sepuluh yang akhir. Tokoh ilmu al-Quran yang terkenal al-Imam al-Zarqani menyebut dalam karyanya Manahil al-‘Urfan:
“Kemudian di sana ada pendapat yang menyatakan bahawa pemulaan Nuzul al-Quran itu pada 17hb Ramadan. Itulah merupakan Malam al-Qadr menurut sebahagian pendapat. Namun pandangan itu menyanggahi pendapat yang masyhur yang disokong oleh hadis sahih”. (1/52, Beirut: Dar al-Fikr).

Apapun perbezaan pendapat yang ada, kesemua umat akur bahawa al-Quran itu turun pada bulan Ramadan. Sarjana hanya berbeza pendapat tentang haribulannya sahaja. Masing-masing telah mengemukakan alasan mereka.


Penghayatan

Lebih penting dari itu semua, kita hendaklah menghayati tujuan al-Quran itu diturunkan kepada manusia. Ia bukan sebuah kitab sekadar untuk dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan ia diturunkan. Jika ramai orang boleh membaca al-Quran, melagukannya, menghiasinya dengan ukiran dan solekan yang indah namun enggan mendalami dan menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran tidak akan berfungsi dalam kehidupan manusia. Ia seakan seorang pesakit yang membaca jadual ubatnya, menulisnya dengan indah dan cantik tetapi tidak memakannya. Firman Allah: (maksudnya):
“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. (Surah al-Baqarah, 185).

SELAMAT MENYAMBUT NUZUL QURAN.


16/06/2015

رمضان كريم


Fadhilat Ramadhan

Hadith 1

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadith 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadith 3

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadith 4

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadith 5

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadith 6

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."


SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN ALMUBARAK. MOHON MAAF DARI AMBO ANDAI SALAH KATA BICARA. SEMOGA KITA SAMA-SAMA MENDAPAT KEBERKATAN DAN KERAHMATAN DI BULAN YANG MULIA INI. 

09/06/2015

BIJI KURMA




Sahabat pencinta Makanan Sunnah!
Ramadan Al Mubarak bakal menjengah lagi, Subhanallah bulan mulia untuk semua umat Islam.
Ironinya bulan Ramadan akan dikaitkan dengan makanan baik untuk berbuka puasa iaitu KURMA atau TAMAR.
Kurma adalah buah ajaib, kecil pada saiznya namun jika diambil secara konsisten setiap hari, ianya adalah makanan terbaik buat kita umat manusia.
Kaya dengan Glukos kerana itu ianya amat sempurna untuk tenaga berpanjangan sepanjang hari.
Namun pada post kali ini saya ingin berkongsi ilmu  dengan biji kurma. Biji kurma sangat banyak khasiatnya, untuk kulit dan juga boleh dibuat minuman seperti kopi
Biasanya jika kita makan kurma, biji kurma kita akan buang..sekarang anda jangan terus membuang bijinya. Simpan dan kumpul.
ihsan by munirah syed abu bakar
Langkah demi langkah memproses biji kurma
Cara cara memproses biji kurma;
  • Basuh biji kurma dan tos kering
  • Taburkan di atas dulang atau penutup periuk dan jemurkan seharian
  • Gorengkan biji kurma tanpa menggunakan minyak , goreng sehingga hangus pastikan biji kurma hitam legam, pada ketika ini biji kurma akan mengeluarkan bau harum dan sangat wangi persis biji kopi!
  • Tumbuk dengan batu lesung atau kisar dengan menggunakan pengisar kering (jangan risau kerana tekstur biji kurma sudah garing dan tidak keras) 
  • Simpan di dalam botol kaca dan boleh digunakan dengan jangkamasa yang lama

Buku Islamic Medicine The Key To A Better Life hasil tulisan dan kajian Yusuf Al Hajj Ahmad membicarakan secara terperinci mengenai KURMA
Kebaikannya? 
1) Sebagai minuman penganti kopi, warnanya tidak segelap kopi tapi rasanya seakan akan kopi. Ianya memberi tenaga baik pada peminum
2) Anda juga boleh menggunakan serbuk biji kopi untuk membuat perapan daging dicampur dengan pelbagai rempah ratus dan Subhanallah perapan daging amat amat lembut
3) Digunakan sebagai scrub badan (saya akan kongsikan tips scrubbing dengan anda pada post yang lain) . Gabungan scrub biji kurma dengan #pevoo dan #madu akan membuatkan kulit badan anda selembut baby!. Natural? yes and safe!
4) Jika anda mengalami masalah keguguran rambut yang serius dan kronik sehingga menyebabkan anda BOTAK!!! maka inilah natural remedy atau cara semulajadi untuk mengaktifkan sel kulit kepala yang sudah mati. Amalan menyapu biji kurma dicampur dengan Minyak Zaitun Ramallah Extra Virgin PEVOO , maka hasilnya adalah TERBAIK. Penggunaan secara Konsisten setiap hari sebelum tidur اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ  akan membuatkan sel kulit kepala yang bermasalah kembali sihat dan anak anak rambut kembali keluar dengan sihat!!!
Masya ALLAH, tidaklah ALLAH SWT menyebut sesuatu yang baik di dalam AL QURAN jika tidak mendatangkan kebaikan dan barakah pada semua Umat Manusia.
Apa yang penting, YAKIN, TAWAKAL dan ISTIQOMAH
Live and Love Sunnah...

07/05/2015

PENYAKIT WAS-WAS

PENYAKIT WAS-WAS atau OCD (Obsessive Compulsive Disorder) 

Perasaan ragu-ragu merupakan satu fenomena lazim melanda kebanyakan manusia. Individu yang diserang penyakit ragu-ragu ini selalunya  akan menghadapi kesukaran dalam menjalani kehidupan harian. Bahayanya apabila ia bukan setakat menyukarkan seseorang menilai dan membuat keputusan terhadap sesuatu perkara, malah pada satu tahap mengakibatkan hati tidak tenteram. Seringkali mereka yang dikuasai perasaan ini mengalami masalah dalam menentukan keseimbangan hidup seharian.  Bagi umat Islam pula ia mengganggu tumpuan dalam aspek keimanan dan amal ibadah saperti solat, kepercayaan kepada Allah swt.

Menurut perspektif Islam penyakit was-was (dalam bahasa Arab ‘waswasah’) iaitu bisikan yang tidak diundang dalam jiwa dan pemikiran.  Bisikan dalam hati atau pemikiran dilakukan oleh jin dan syaitan. Ada sejenis jin yang bernama Al-Maraddah yang bertugas hanya untuk membisik di hati dan mengganggu perasaan agar manusia ragu-ragu atas was-was. Jenis jin Al-Maraddah ini membisikkan perkara bukan-bukan supaya timbul kecelaruan di dalam hati, malah kadangkala mempengaruhi keputusan akal. Ia membuatkan suatu perasaan tidak sempurna dan menghilangkan keyakinan terhadap ibadat yang dilakukan.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke Dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia". - Surah An-Nas : 1-6



Gangguan was-was juga pernah menimpa salah seorang sahabat Rasulullah yang bernama Utsman bin Abil ‘Ash. Ia telah datang ke Rasulullah saw seraya mengadu kepadanya,
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam shalatku dan membuat bacaanku terganggu”, Rasulullah menjawab, :Itulah syaitan yang disebut dengan ‘Khinzib’. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah.’ Aku pun melakukan hal itu, dan Allah menghilangkan gangguan itu dariku.” - HR. Muslim
Penyakit was-was boleh bertambah kronik sehingga ke peringkat di mana pesakit menjauhi daripada amalan ibadat dan meninggalkan ketaatan. Ada juga yang boleh sampai ke peringkat syirik kepada Allah kerana pesakit terlalu memikirkan perkara tersebut yang menjadikan pengidap jemu, bosan dan putus asa terhadap usaha ibadah.

Rawatan Moden Untuk Was-Was

Di dalam perubatan  moden, penyakit was-was lebih dikenali sebagai penyakit psikologi Obsessive Compulsive Disorder (OCD). OCD ialah penyakit mental akibat kerisauan. Ia mempunyai gaya pemikiran dan tingkah-laku yang bersifat memaksa. Dikatakan OCD berpunca daripada paras serotonin yang tidak normal di dalam otak. Serotonin berperanan mengawal perasaan kurang senang dan perkara-perkara yang menimbulkan gangguan.
OCD juga dikaitkan dengan kebimbangan melampau atau anxiety neurosis yang boleh menyebabkan suasana kecelaruan panik atau ‘panic disorder’ dan juga ‘phobia’ atau penyakit ketakutan yang keterlaluan. Ubat-ubatan moden untuk OCD kebiasaannya adalah ubat anti-SSRI yang berfungsi untuk mengembalikan kadar hormon serotonin di dalam otak kepada paras normal. Namun, ubatan moden banyak kesan sampingan yang negatif.


Jenis Was-Was




Was-was ada dua bahagian iaitu  was-was dalam ibadah  dan was-was dalam akidah.

Was-was Ibadah biasa pada perkara-perkara berikut;
  • Mengambil wudu' berulang-ulang kali seperti tiada kesudahan
  • Mengangkat takbirratulihram (niat) yang berulang-ulang dengan muka yang amat tertekan
  • Taharah (bersuci) terutama selepas membuang air kecil. Pesakit akan cuba membersihkan kemaluan dan setiap kali dia akan terasa seperti masih ada lagi najis yang terkeluar dan proses basuhan berlanjutan seperti tiada kesudahannya
  • Mandi hadas dengan basuhan berulang-ulang kerana tidak yakin dengan sahnya mandi hadas tersebut
  • Membaca basmalah dan Al-Fatihah dalam keadaan yang amat sukar serta berulang-ulang sebutan ayat-ayat tersebut
  • Ragu dan terlalu berhati hati dengan kebersihan tempat dan barangan.

Was-was akidah dari syaitan seperti berikut;
  • Memikirkan sesuatu yang batil (palsu) yang bersangkut dgn ketuhanan seperti timbul persoalan kewujudan tuhan
  • Memikirkan sesuatu  yang batil yang bersangkut dgn kenabian dan perkara-perkara yg ghaib
  • Memikirkan sangkaan buruk.


Bahaya Was-Was


Mengganggu aktiviti seharian.
  • Individu yang mengalami penyakit was-was biasanya akan menganggu aktiviti-aktiviti seharian. Ini adalah kerana setiap perbuatannya seringkali dilakukan berulang-ulang kali sehingga terpaksa menggunakan lebih masa dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Membuat hidup penderitanya tidak tenang
  • Apabila berlakunya situasi was-was ini, maka individu tersebut akan merasa tidak tenteram. Resah dan gelisah menghantui hidupnya kerana dirasakan setiap tindak tanduknya tidak sempurna. Akhirnya individu yang mengalami masalah ini akan menghadapi tekanan perasaan.

Mengganggu ketenteraman orang lain
  • Bagi mereka yang mengalami gangguan was-was ini terutama ketika melaksanakan solat secara berjemaah, selalunya akan mengganggu makmum-makmum yang lain. Sebagai contoh ketika mengangkat takbiratul ihram secara berungkali akan menyebabkan terganggu dan hilang tumpuan makmum yang lain memerhatikan gelagat si penghidap penyakit was-was ini.

Meninggalkan sunnah Rasul dan mengikuti was-was syaitan
  • Inilah yang ditakuti kerana apabila penyakit ini dihadapi oleh seseorang muslim. Sebagai contoh ketika mengambil wudhu’. Bagi pesakit mereka akan merasa ragu-ragu bahawa anggota wudhu’ telah dibasuh sebanyak tiga kali atau tidak? Sudah rata atau belum? Akhirnya mereka akan membasuh berkali-kali melebihi yang disunnahkan oleh rasulullah SAW. Malah penggunaan air yang berlebihan juga berlaku sedangkan ianya tidak dianjurkan dalam islam. Amalan membazir ini amat dilarang Allah hingga orang yang membazir itu disamakan dengan saudara syaitan. 
 "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya" -Surah al-Isra': 27. 

Merosak akidah
  • Apabila was-was yang diderita seseorang itu adalah was-was dalam keimanan atau akidah, maka was-was tersebut akan menjadikannya keluar dari iman dan akidah yang benar. Inilah kesan yang paling membahayakan. Sehingga akan mengakibatkan seseorang yang menghadapi masalah ini meragukan ke-Esaan Allah SWT, meragukan kebenaran ayat-ayat al-Quran. Bahkan akan meragukan bahwa hanya Allah lah sebagai tuhan yang berhak disembah selain membenarkan ajaran agama lain. Waiiyazubillah!

“Syaitan akan selalu mendatangi salah seorang dari kalian seraya bertanya, ‘Siapa yang menciptakan ini?’ ‘Siapa yang menciptakan ini?’ sampai pada pertanyaan: ‘Siapa yang menciptakan Allah?’ Barang siapa yang mendapati dalam dirinya pertanyaan tersebut, maka berlindunglah kepada Allah (membaca isti’adzah), dan hendaklah menghentikannya (mengakhirinya)’. “ (HR. Bukhari).

Cara-Cara Menentang Dan Merawat Was-Was

Bagi mengelak daripada perasaan was-was ini berlaku kepada diri, boleh mencuba amalan berikut:-

Lakukan apa yang diperintahkan oleh Allah tanpa memikirkan adakah ia diterima atau tidak, kerana Allah tidak membebankan sesuatu perkara ke atas seseorang melainkan apa yang mampu dilakukan oleh insan tersebut. Sematkan di dalam fikiran bahawa manusia hanya diperintahkan untuk melakukan ibadah dan bukannya diperintahkan untuk menentukan kesahihan setiap amal ibadah kita.

Apabila anda ragu-ragu tentang kesempurnaan wuduk atau terlupa untuk berniat. Fikirkanlah bahawa ini merupakan gangguan dari syaitan. Jangan ulangi kembali perkara yang telah dilakukan sebelum ini seperti selepas takbiratul ihram, membaca Al Fatihah, kemudian mula memikirkan  adakah ia sah atau tidak? Tinggalkan keraguan anda ini dan  terus sempurnakan sembahyang anda kerana apabila anda mentaati was-was ini, ia pasti akan bertambah sehingga menyusahkan.

Hendaklah orang yang ditimpa was-was sedar bahawa was-was yang menyerangnya adalah tanpa kehendaknya. Perasaan was-was ini sebenarnya langsung tidak memberi kesan kepada kebaikan dan ketakwaannya. Bahkan ia menunjukkan kepada kebenaran imannya. Kesedaran terhadap perkara ini adalah penting supaya dia tidak mempedulikan was-was tersebut.

Banyakkan berzikir dan berdoa kepada Allah kerana Dialah yang Maha Penyembuh. Doa antara perkara yang mujarab kerana doa akan memberikan kita ketenangan dan ketenteraman dalam hati. Allah mengajar kita sebagai manusia agar memohon perlindungan-Nya agar terpelihara daripada mudarat hasutan bisikan syaitan ini.
“Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. “ - Surah al-A’raaf: 200



Penutup

Kesimpulannya, bila seorang mukmin dan mukminah diuji dengan was-was, hendaknya bersungguh-sungguh meminta kesembuhan dan keselamatan kepada Allah SWT dari gangguan tersebut. Perbanyakkan “isti’adzah” kepada Allah SWT daripada gangguan syaitan yang membisikan perasaan was-was ini. Khusyuk dalam ibadah adalah satu kewajiban. Justeru, wajiblah bagi setiap muslim berusaha mengubati serta mengelakkan diri daripada perasaan was-was ini agar ibadah lebih sempurna. Wallahu a’lam.