17 RAMADHAN KAH? 21 RAMADHAN KAH?
24
RAMADHAN KAH?
Ramadhan dan al-Quran satu
ikatan yang tersimpul mati. Apabila disebut Ramadan, di samping puasa, kita
akan teringatkan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran). Bulan Ramadan bulan yang
diturunkan dalamnya al-Quran.
Penurunan al-Quran itu dua peringkat; pertama,
dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi s.a.w
secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad ditabalkan
menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun.
Para
sarjana tidak berbeza pendapat bahawa al-Quran turun (Nuzul al-Quran) dalam
bulan Ramadan. Ini kerana Allah sendiri yang menjelaskan bahawa al-Quran itu
turun dalam bulan Ramadan. Firman Allah: (maksudnya)
“Bulan
Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi pertunjuk untuk
manusia” (Surah al-Baqarah, 185).
Namun begitu sarjana berbeza pendapat tentang berapa
haribulankah Ramadan penurunan itu berlaku? Ada yang berpendapat ia diturunkan
pada 21hb Ramadan. Pendapat ini dipegang oleh beberapa orang ulama, antaranya tokoh
Sirah yang terkenal al-Syeikh Safiyy ar-Rahman al-Mubarakfuri seperti yang
beliau sebut dalam karyanya Rahiq al-Makhtum. Ada juga
yang berpendapat 24hb Ramadan kerana bersandarkan hadis riwayat al-Imam Ahmad
yang menyebut:“…Allah
turunkan al-Quran pada 24hb Ramadan”. Hadis ini disahihkan oleh
sebahagian ulama, dihasankan oleh sebahagian yang lain. Terdapat juga sarjana
yang mendaifkannya disebabkan kritikan terhadap salah seorang rawi iaitu Imran
bin al-Qattan. Namun ada riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas yang boleh menyokong
riwayat ini. Di sana ada lain-lain pendapat tentang haribulan Nuzul al-Quran
ini.
Di tempat kita biasanya kita mendengar tarikh Nuzul al-Quran
pada 17hb Ramadan. Ini juga salah satu pendapat yang telah sesetengah sarjana
kemukakan. Pun begitu pendapat ini mendapat kritikan sebahagian sarjana yang
lain atas beberapa alasan. Antaranya, al-Quran sendiri menjelaskan bahawa
al-Quran diturunkan pada Malam al-Qadr (Lailatul Qadar). Ini seperti
yang Allah sebut dalam Surah al-Qadr: (maksudnya)
“Sesungguhnya
Kami telah turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr” (ayat 1).
Hadis-hadis Nabi s.a.w pula banyak yang menjelaskan bahawa Malam
al-Qadr itu berlaku pada salah satu dari sepuluh malam yang akhir bulan
Ramadan. Maka, sepatutnya penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) dalam lingkungan
sepuluh yang akhir. Tokoh ilmu al-Quran yang terkenal al-Imam al-Zarqani
menyebut dalam karyanya Manahil al-‘Urfan:
“Kemudian
di sana ada pendapat yang menyatakan bahawa pemulaan Nuzul al-Quran itu pada
17hb Ramadan. Itulah merupakan Malam al-Qadr menurut sebahagian pendapat. Namun
pandangan itu menyanggahi pendapat yang masyhur yang disokong oleh hadis
sahih”. (1/52, Beirut: Dar al-Fikr).
Apapun
perbezaan pendapat yang ada, kesemua umat akur bahawa al-Quran itu turun pada
bulan Ramadan. Sarjana hanya berbeza pendapat tentang haribulannya sahaja.
Masing-masing telah mengemukakan alasan mereka.
Penghayatan
Lebih penting dari itu semua, kita hendaklah menghayati tujuan
al-Quran itu diturunkan kepada manusia. Ia bukan sebuah kitab sekadar untuk
dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan ia diturunkan. Jika ramai orang
boleh membaca al-Quran, melagukannya, menghiasinya dengan ukiran dan solekan
yang indah namun enggan mendalami dan menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran
tidak akan berfungsi dalam kehidupan manusia. Ia seakan seorang pesakit yang
membaca jadual ubatnya, menulisnya dengan indah dan cantik tetapi tidak
memakannya. Firman Allah: (maksudnya):
“Bulan
Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian
manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan
(menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. (Surah
al-Baqarah, 185).
SELAMAT MENYAMBUT NUZUL QURAN.